"Berkongsi untuk lebih memahami, bercerita untuk mempelajari... kerana hidup ini hanya untuk Ilahi"
Sunday, July 26, 2009
Ya Bunayya....
Wahai anakku... sungguh lembut cara Luqman mengajar anaknya seperti yang di sebutkan dalam Al-quran. Mengingat kembali zaman ketika kecil, apakah pengajaran pertama yang diajarkan oleh kedua ibubapa kita?
Ada yang mengajar anak menyanyi sejak kecil, tak kurang juga seawal kelahiran anak, ibubapa telahpun menghantar anak-anak ke kelas tarian dan mengajar anak2 pelbagai lagi ilmu2 'moden'. Mungkin apabila anak2 mencecah umur persekolahan, bebanan mengajar ilmu agama diserahkan kepada guru2 di sekolah.
Tidak kurang juga yang apabila anak2 mencapai umur akil baligh, baru berusaha mengajar segala ilmu fiqh termasuklah memaksa anak2 memakai tudung. Pengajaran yang sepatutnya diajarkan sejak kecil... di simpan dan ditunggu hingga anak2 baligh. Tidak hairanlah jika anak2 memberontak dan menolak mentah2 ajaran yang cuba diterapkan oleh ibubapa ketika mereka mencapai usia remaja.
Namun begitu, apakah pengajaran pertama yang perlu di ajar? Perlukan mengajar hadith dan fiqh terus? Atau perlukan mengajar ibadah seperti solat dan puasa dahulu? Syukur ke hadrat Ilahi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Di dalam Kitabnya, Allah menyebutkan asas pendidikan untuk anak2, dan di persembahkan di dalam surah Luqman, ayat 12-19.
12. Dan sungguh, telah kami berikan hikmah kepada Luqman, yaitu, "Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesunguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.
Di dalam ayat ini hanyalah satu-satunya bahagian dalam surah ini yang menyebut nama Luqman. Namun tidak dijelaskan siapakan gerangan Luqman ini. Kenapa ya? Kerana untuk apa kita mengetahui 'details' tentang Luqman. Adakah dengan mengetahui latar belakangnya, ciri2 dirinya... akan menambahkan iman dan taqwa kita kepada Allah? Al-quran bukanlah kisah panglipurlara yang terlalu banyak 'details' dan cerita yang tidak perlu dan tidak berkaitan. Cukuplah kita mengambil pengajaran dari ayat2 ini, dari memikirkan siapa Luqman sebenarnya.
Ayat ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur atas nikmat ilmu yang diberikan sepertimana Allah mengingatkan Luqman supaya bersyukur atas kurniaan "hikmah" yang diberikan.
13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, "wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar2 kezaliman yang besar".
Inilah pengajaran pertama yang perlu diajar kepada anak2 pada tahun2 awal kehidupan mereka. Kita tidak disuruh mengajar solat dan puasa sebagai perkara pertama yang perlu diajar, tetapi akidah merupakan perkara penting dalam kehidupan muslim. Anak2 perlu di ajar tentang aqidah dan syirik, supaya mereka mengenali Allah, dan kenapa mereka perlu patuh dan tunduk kepadaNya.
Mungkin inilah kesilapan dalam mendidik. Ibubapa lupa tentang kepentingan aqidah untuk diterapkan dalam diri anak2. Anak2 perlu tahu perkara yang membezakan antara syirik dan Iman. Mungkin juga pusat penjagaan kanak2 perlu diajar supaya mengajar ilmu aqidah kepada kanak2 di bawah jagaan mereka. Ibubapa juga perlu peka dengan perkembangan mental anak2, tidak sepatutnya anak2 diajar tentang hantu dan menakutkan mereka dengan kuwujudan makhluk halus, tetapi pada masa yang sama mereka lupa untuk mendidik anak supaya takutkan Allah. Jangan sampai anak2 dibesarkan dalam keadaan takutkan hantu melebihi perasaan takutkan Allah.
14. Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.
15. Dan jika keduanya memaksa untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
Allah mengingatkan kita tentang kepentingan berbuat baik kepada ibubapa. Wajarlah kita berterima kasih kepada mereka atas kesusahan dan kepayahan mereka membersarkan kita. Namun dalam pada itu, kita semestinya perlu bersyukur dan berterima kasih kepada Allah, kemudian barulah kepada kedua ibubapa. Sebabnya? rasanya semua boleh berfikir kenapa.
Dan jika mereka menyuruh kita berbuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam, maka wajiblah kita mengingkari mereka. Tetapi pada masa yang sama kita masih wajib melayani mereka dengan baik, meskipun mereka kafir. Berbuat baiklah kepada kedua orang tuamu...
16. (Luqman berkata), "Wahai anakku! Sungguh, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau dilangit atau dibumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti.
Ayat 16 ini menarik, kerana ajaran seterusnya selepas aqidah, bukanlah mengajar ibadah. Mungkin kita menyangka selepas mengajar anak2 aqidah, kita patut mengajar tentang ibadah. Maha suci Allah yang Maha Mengetahui. Kita disuruh mengajar anak2 tentang "muraqabah", iaitu perasaan sentiasa tahu Allah melihat kita walaupun orang lain tidak melihat.
Mengapa hal ini lebih penting dari ibadah? Kerana untuk mengelakkan anak2 solat dan beribadah hanya di depan ibubapa atau orang ramai, tetapi bila bersendiri, mereka mengabaikannya. Inilah masalah orang Islam sekarang, mereka hanya menjadi Islam hanya ketika bersama muslim yang lain. Ketika merantau atau jauh dari muslim yang lain, mereka lalai dan lupa, dan pantas sekali melakukan maksiat dan kemungkaran. Mereka lupa bahawa Allah Maha Halus dan Maha Teliti, Allah menghitung setiap kemungkaran dan kebaikan yang kita lakukan biar sekecil manapun, dan di mana sahaja. Subhanallah....
17. Wahai Anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.
Di dalam ayat ini baru kita di suruh mendidik anak2 tentang kepentingan solat. Setelah mendidik tentang aqidah dan muraqabah, barulah anak2 dididik tentang solat dan ibadah. Namun tidak berhenti di situ sahaja, didikan untuk mengajak manusia 'amar makruf nahi mungkar' adalah wajib bagi setiap manusia. Beribadah tidak susah.... namun untuk berdakwah bukanlah perkara yang mudah.
Dalam ayat ini juga, selepas Allah menyuruh manusia menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran, Allah mengingatkan kita bahawa kita akan diuji jika melakukan semua ini. Manusia akan bangun menentang dan mungkin kita akan dibenci. Kerana itulah Allah menyuruh kita bersabar atas tentangan yang akan berlaku, kerana sesungguhnya 'amar makruf nahi mungkar' adalah perkara yang sangat penting dalam hidup ini.
18. Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan dibumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang2 yang sombong dan membanggakan diri.
Anak2 perlu dididik supaya tidak sombong dan angkuh atas kelebihan yang diberi. Ingatkah kita di masa sekolah dulu, masing2 cuba untuk menunjukkan yang mereka ada beg yang cantik, pencil case yang penuh dengan alatulis, makanan yang sedap2 dan banyak lagi. Mungkin kelihatannya masalah kecil, tetapi penting untuk anak2 membuang sikap angkuh sedari kecil lagi kerana penyakit hati ini akan dibawa hingga dewasa. Ajari anak2 untuk mensyukuri nikmat yang diberi, dan tidak perlulah untuk 'bertanding' kekayaan dan kelebihan dengan rakan2.
19. Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk2 suara ialah suara keldai.
Ajarlah anak2 untuk berkata2 dalam bahasa yang lembut dan pastikan setiap langkah perjalanannya mempunyai tujuan. Menariknya, ramai ibubapa yang mengajar anak2 'melunakkan suara' iaitu menyanyi sejak mereka kecil. Sangat2 menyedihkan bila melihat video anak2 muslim yang menyanyi karaoke sedari umur 2-3 tahun dan ibubapa yang bangga dengan anak2 ini. Nauzubillah.. moga Allah pelihara diri dan keturunan kita.
Artikel ini hanyalah ringkasan kuliah tafsir yang disampaikan oleh Dr. MAZA suatu ketika dahulu. Jika mempunyai masa, dengar-dengarlah kuliah yang penuh, kerana lebih banyak perkara penting yang dibincangkan. Link untuk kuliah ini Kuliah tafsir surah Luqman . Semoga semua mendapat manfaat dan sebar-sebarkanlah.....
Wallahualam
Hanisah Azhari
Dunedin
7.00am
26 July 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment