Monday, January 4, 2010

Antara Telekung Dan Aurat




Orang melayu nusantara sangat sinonim dengan pemakaian telekung ketika bersolat. Malah dikatakan juga jika menunaikan haji di Baitullah, mudah sekali mengenali orang melayu kita dengan hanya melihat kepada pemakaian telekung pada setiap ketika.


Namun, apakah erti di sebalik pemakaian telekung itu? Ramai yang beranggapan telekung adalah pakaian yang paling lengkap menutup aurat ketika bersolat. Hinggakan ramai yang terasa resah gelisah untuk bersolat jika tiada telekung bersamanya.


Sebelum saya menjejak bumi Aotearoa, saya juga begitu ' attached' dengan telekung ketika bersolat. Mungkin kerana terlalu biasa memakai telekung di Malaysia, saya terleka tuntutan sebenar ketika bersolat. Namun sepanjang 5 tahun di negara orang, rasanya saya hanya memakai telekung ketika bersolat di rumah. Pada masa-masa lainnya, ketika bersolat di luar rumah saya lebih selesa bersolat dengan pakaian yang dipakai ketika itu.


Tiap kali ke masjid untuk solat-solat fardu, ketika iftar, mahupun ketika solat jumaat, amat ganjil sekali jika dapat melihat jemaah perempuan memakai telekung. Malah kaum melayu sendiri bersolat dengan pakaian yang dipakai, tanpa menggunakan telekung.... tetapi mereka ini MENUTUP AURAT.


Subhanallah... mudahnya Islam. Kita dituntut menutup aurat ketika bersolat, dan telekung bukannya “ the only solution”. Asalkan pakaian kita menutup aurat... solatlah !


Minggu-minggu pertama pulang ke Malaysia, saya terpaksa memujuk hati dengan jelingan-jelingan kaum muslimah di surau-surau. Setiap kali keluar rumah.. semestinya saya akan berpakaian menutup aurat. Malahan saya bawa sekali stokin bersih yang khas untuk solat. Namun setiap kali saya bersolat dengan memakai stokin dan pakaian sendiri... tanpa telekung, banyak sungguh jelingan2 yang di terima.


Malah pernah seorang budak ini bertanya kepada ibunya kenapa saya tidak bertelekung ketika bersolat. Jawapan ibunya.. “shush... jangan sebut kuat-kuat”. Menunjukkan si ibu sendiri tidak faham erti ‘menutup aurat’ ketika bersolat. Saya hanya mampu melemparkan senyuman pada mata-mata yang menjeling dan mulut-mulut yang berbisik. Biarlah apa orang kata, kerana ini mungkin disebabkan kurangnya kepekaan terhadap Islam itu sendiri. Taqlid tanpa mengetahui asas.


Hakikatnya, saya lebih rela bersolat dengan menutup aurat daripada memakai telekung2 yang berbau dan bertahi lalat yang menjadi penghuni tetap surau-surau itu.


Jika orang-orang ini menganggap pakaian mereka itu tidak boleh digunakan ketika bersolat (tanpa telekung), ini menunjukkan yang mereka keluar dari rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna. Jika pakaian mereka telahpun menutup aurat dengan sempurna.... tiada salahnya bersolat tanpa telekung. Kerana syarat sah solat ialah menutup aurat... bukannya memakai telekung!!!


Hanisah Azhari

Tambun, Ipoh

3 Jan 2010