"Berkongsi untuk lebih memahami, bercerita untuk mempelajari... kerana hidup ini hanya untuk Ilahi"
Thursday, March 25, 2010
Satu Rasa Dua Hati
Hari demi hari berlalu. Ku panjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa, akhirnya usia perkahwinan kami telah mencapai 2 tahun. Alhamdulillah, ia merupakan 2 tahun yang bahagia dan penuh ketenangan.
Sempena ulangtahun perkahwinanku kali ini, saya memilih untuk menghadiahkan sebuah buku kepada diri sendiri, sebagai satu proses pembelajaran untuk mencapai rumahtangga yang lebih baik.
“ Satu Rasa Dua Hati” hasil karya Pahrol Mohd Juoi menjadi pilihan. Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, saya telahpun menghabiskan bukunya yang bertajuk “Tentang Cinta” yang banyak memberi gambaran sebenar mengenai cinta manusia. Buku Tentang Cinta mempunyai kandungan yang berbeza berbanding ‘buku-buku cinta’ yang lain, sekaligus mendorong saya untuk membeli hasil karya beliau yang seterusnya.
Mula-mula membaca buku ini, terasa agak bosan tentang cara penulisan beliau. Namun setelah bergerak dari satu topik ke topik seterusnya, buku ini berjaya membuatkan saya terleka dan membuat saya terfikir sendirian tatkala cuba memahami maksud di sebalik cerita-cerita yang dilakarkan.
Buku ini mengandungi 20 tajuk pendek berkaitan perkahwinan. Setiap tajuk mempunyai 2 bahagian yang terdiri daripada tulisan berbentuk nasihat dan diikuti pula oleh cerita pendek yang berkaitan dengan tajuk tersebut. Hmm... nampak seperti bosan, tetapi percayalah, cara penulis membawakan setiap tajuk itu lebih menarik dari yang saya gambarkan.
Banyak sekali yang saya pelajari dari buku ini. Perkara-perkara kecil dalam perkahwinan yang kita selalunya abaikan ataupun tidak kita sedari, diketengahkan dengan begitu menarik sekali dalam tulisannya.
Perkara penting yang saya pelajari dalam buku ini adalah perkahwinan itu menuntut kita untuk “memberi” , bukannya mengharapkan hak-hak kita dipenuhi semata-mata. Buku ini mengajar saya untuk terus memberi di dalam perkahwinan tanpa mengharapkan balasan. Perkara yang tidak mudah untuk dilaksanakan, namun saya berdoa agar Allah memudahkan saya untuk melakukannya.
Sejujurnya, buku Satu Rasa Dua Hati ini saya syorkan pada pasangan-pasangan yang belum berkahwin, apatah lagi yang sudahpun berkahwin untuk di baca dan dihayati pengajaran di sebaliknya.
Jangan hanya sebelum kahwin kita sibuk membaca buku-buku perkahwinan, tetapi selepas bergelar suami/isteri, kita berhenti belajar untuk menjadi pasangan bahagia dan diredhai Allah. Ilmu perkahwinan bukanlah sekadar keperluan sebelum berlakunya “akad”, tetapi ia adalah keperluan sepanjang hayat yang perlu di tuntut dan di amalkan.
Moga sahabat-sahabat yang memilih untuk membaca buku ini mendapat manfaat sebaiknya......InsyaAllah.
Wallahualam.
Hanisah Azhari
Kota Damansara
Subscribe to:
Posts (Atom)